Thursday, March 7, 2013

Fajr Radio (Bahagian 1)

ISNIN, 4 Aazar, 4.30pm - "Esok saya turun ke Beirut. Kamu dan tiga orang pelajar China ikut sekali, kita ke stesen radio", tutur Ustaz Hilal Fattal sambil membelek hanset jenama Nokia beliau untuk menunjukkan saya frekuensi Radio Al-Fajr. Malangnya, beliau gagal berbuat demikian. Tanpa berlengah, saya pun membuka aplikasi radio di smartphone Samsung Galaxy Mini 2 dan menunjukkan kepada beliau.

"Ok, pilih frekuensi 100.7fm. Esok jam 6.00pm kita akan bersiaran. Kita akan bertutur dalam Bahasa Arab Fusha (Baku), saya nak bawa pelajar dari China dan Indonesia. Esok kamu bertiga tunggu saya di pintu pagar Universiti pukul 3.00pm", tutur beliau lagi.

"Secara langsung ke Ustaz?", balasku.

"Ya", jawab beliau sambil tersenyum.

Ustaz Hilal Fattal merupakan salah seorang guru kami di Markaz Lughah ataupun Pusat Bahasa Arab di Universiti Al-Jinan, Tripoli, Lubnan. Seringkali beliau menyangka bahawa saya dari Indonesia sedangkan sudah tiga kali saya mengatakan bahawa saya dari Malaysia.
Malam itu juga saya dengar Radio Al-Fajr sambil melayari facebook untuk mencari fanpage stesen radio ini. Alhamdulillah, jumpa.

"Sejauh manakah anda boleh bertutur dalam Bahasa Arab Fusha? Dengarkan di radio kami pada jam 6.00 petang esok bersama Ustaz Hilal Fattal dan pelajar dari China dan Indonesia. Kita akan bertutur dalam Bahasa Arab Fusha".

"Ah sudah, mesti Ustaz Hilal ingat saya dari Indonesia, sebab itu iklan radio sebut dari Indonesia. Takpe, esok pasti saya perbetulkan", kata hatiku.

SELASA, 5 Aazar - Seperti yang dijanjikan, tepat jam 3.00pm beliau pun tiba dengan kereta usang beliau yang berjenama Buick. Saya duduk di kerusi hadapan dan tiga orang pelajar dari China duduk di kerusi belakang. Kami berlima bemusafir ke Beirut.

Sebelum bertolak, kami singgah di beberapa tempat dahulu di bandar Tripoli sebagai persediaan bermusafir. Mula-mula ke kedai topup, kemudian ke stesen minyak, selepas itu ke kedai baiki kereta. Kemudian, barulah kami masuk ke lebuh raya menuju ke Beirut.

"Kereta perlu berada dalam keadaan bersedia sebelum bermusafir", kata Ustaz Hilal sebelum kami berhenti untuk menambah angin tayar kereta beliau. Perjalanan dari Tripoli ke Beirut mengambil masa 1 jam setengah.

"Ustaz, saya dah dengar iklan di radio ini. Tapi saya bukan dari Indonesia", tuturku memulakan bicara dalam kereta.

"Oh ya, saya tersilap, saya tersilap. Malaysia, bukan Indonesia", balas beliau.

5.00pm - Tiba di Beirut. Kami singgah di Masjid Rafiq Hariri untuk solat asar. Kemudian, terus menuju ke Stesen Radio Al-Fajr bertempat di Darul Fatwa, Aisyah Bakkar, Beirut. Setelah melalui lorong yang sempit dan kenderaan yang sesak ditambah pula dengan bunyi hon yang tidak putus-putus, Beirut memang agak 'meriah'.

5.30pm- Tiba di Bangunan Jamaah Islamiyah, parti yang dianggotai oleh Allahyarham Syeikh Fathi Yakan Rahimahullah. Bangunan tersebut mempunyai 10 tingkat, kami naik ke tingkat 9 di mana terletaknya konti untuk bersiaran.

"Rupanya radio ini milik Jamaah Islamiyah, hebat!", saya berkata dalam hati.

Setibanya di tingkat 9, kami disambut oleh DJ itu sendiri, saudara Mahmoud Zain.

DJ Radio Al-Fajr, saudara Mahmoud Zain

Kami dipelawa masuk ke dalam konti dan beliau memberikan sedikit taklimat tentang siaran yang akan keudara jam 6.00 - 7.00pm sebentar lagi. 10 minit kemudian, waktu maghrib pun tiba. Beliau meminta izin untuk solat maghrib terlebih dahulu memandangkan kami boleh jamak solat antara maghrib dan isyak.

"Saya pergi solat dahulu, anda semua boleh jamak", kata beliau sebelum menutup pintu konti.

Kami dihidangkan dengan jus dan biskut sambil bersiaran. 

* Aazar = bulan Mac.

Bersambung....

No comments:

Post a Comment